Thursday, April 9, 2009

TOKOH BAHASA


DR ARBAK OTHMAN

Setelah berkecimpung dalam bidang kebahasaan, termasuk tatabahasa Melayu, Perkamusan, Semantik dan wacana kira-kira 30 tahun, Arbak Othman ingin menghabiskan hayatnya dengan bidang yang meneliti bahan sastera, khususnya puisi, iaitu genre yang telah terserap ke dalam jiwanya semenjak tahun 1974, tetapi bergiat semula semenjak tahun 1998 hingga sekarang. Beliau meneroka wacana puitik tidak sahaja dari segi seni penciptaannya, tetapi juga mengkaji puisi-puisi penyair tanah air dalam usaha beliau menempatkan karya-karya penyair kebangsaan kita pada perspektif yang menyelongkar ketinggian seni karya berdasarkan pendekatan linguistik semiotik, iaitu cabang ilmu linguistik yang diperluaskan kepada bidang yang mengkaji hasil-hasil kesusasteraan mengikut ukuran peranan tanda dalam ilmu yang dinamakan The Science of Signs melalui proses interprestasi tanda dan dunia di dalamnya. Kecenderungan yang dimantapkan dalam kajian yang dilakukan dengan penuh minat dan ketekunan membuat beliau kini terlibat dalam dunia kritikan sastera, khususnya terhadap seni karya berbentuk puisi.





Kesungguhan beliau dalam bidang ini, selain mencipta puisi, telah menyebabkan beliau meraih beberapa kejayaan dalam bidang kritikan sastera pada tahun 2001 dengan Anugerah Sastera Utusan Melayu (Kategori Utama untuk Puisi) dan Anugerah Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka dalam kategori Kritikan Sastera untuk tahun 2001/2002. Antologi puisi beliau yang pertama dihasilkan sebelum ini berjudul Peta Cinta, manakala novel yang pertama diterbitkan berjudul Dari Delima Ke Destini. Bagi Arbak Othman, yang dilahirkan pada 10.02.1944 di Kampung Sebatu Melaka, genre puisi merupakan wadah pernyataan hati, perasaan, hasrat, idealisme perjuangan, keilmuan, maklumat dan keintelaektualan yang dapat digunakan oleh manusia untuk menegur, menyanjung dan membantu pembinaan budaya, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment